RSS

Category Archives: Muhasabah

Hikmah Kentut Membatalkan Wuduk

Hikmah Kentut Membatalkan Wuduk

(Follow FB Fathullah Al-Haq Muhd Asni)

Kata Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi,[1] “Ada orang bertanya kepada saya berkenaan dengan kentut, iaitu mengapa ia membatalkan wuduk. Adapun batal disebabkan dengan kencing atau berak, ia nya masih lagi boleh diterima oleh akal, kerana ia membawa kesan kotoran kepada badan. Namun dia tidak faham, kenapa kentut boleh membatalkan wuduk, sedangkan ia hanya angin sahaja yang keluar daripada lubang dubur.

Maka saya berkata kepadanya, “Sesungguhnya wuduk adalah salah satu perkara yang melibatkan hal-hal ibadah. Ia tidak disyaratkan untuk mesti mengetahui sebab dan hikmah wuduk melalui akal yang cetek, melainkan Allah SWT sahaja yang tahu rahsianya.

Apa yang dikehendaki kepada hamba-hamba ialah melakukan segala perkara yang disyariatkan dengan taat tanpa ada belah bahagi. Oleh itu, jika Allah SWT mengatakan, “Aku menyuruh dan aku melarang ini dan ini.” Maka jawab hamba, “Aku dengar dan aku taat.”

Apa yang mungkin boleh difikirkan oleh akal yang cetek mengenai hikmahnya, saya menjawab, “Sesungguhnya agama Islam mensyariatkan agar umatnya mendirikan solat Jumaat dan Jemaah di masjid-masjid. Sudah pasti ia mengumpulkan ramai orang di dalam satu-satu tempat dan juga pada satu-satu waktu, malah kadangkala tempoh berkumpul itu memakan masa yang lama.

Justeru, disebabkan hal ini, agama menginginkan agar setiap hamba mengutamakan perkara yang melibatkan kebersihan dan kecantikan supaya tidak menyakitkan orang ramai dengan bau-bau yang busuk dan pandangan yang tidak elok dipandang.

Maka, Nabi SAW menyuruh agar para sahabat mandi sebelum tunaikan solat berjemaah di masjid. Selain itu, Nabi SAW berkata, “Sesiapa yang makan bawang putih dan bawang merah, maka hendaklah ia mengelakkan diri daripada orang ramai.”[2] Kata Nabi SAW lagi, “Sesiapa yang makan pokok ini (iaitu bawang putih), maka ia hendaklah menjauhi daripada masjid kami.”[3]

Larangan di atas apabila bau yang tidak baik datang daripada atas iaitu mulut. Demikian juga bau yang datang daripada bawah iaitu kentut melalui dubur. Sekiranya, jika dibenarkan setiap orang di dalam masjid kentut ketika mendengar khutbah atau sebagainya tanpa membatalkan wuduk, sudah pasti bau itu dapat menyakitkan antara satu sama lain yang ada di dalam masjid. Justeru, disebabkan tidak mahu hal ini terjadi, dengan nama agama, syariat menegah daripada berlakunya perkara yang boleh mengakibatkan mudarat kepada orang ramai.

[1] Fikh at-Taharah, hlm. 174 – 175

[2] Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim. Lihat al-Lu’lu’ wa al-Marjan, hlm. 333

[3] Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim. Lihat al-Lu’lu’ wa al-Marjan, hlm. 331

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2013 in Muhasabah

 

LAPANGKAN HATI MU DENGAN TAUBAT

“Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya.” (HR Muslim)

“Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” (HR Bukhari)

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat? Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.

Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.

Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.

Takuitilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.

Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:

“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?

Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.

Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.

Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.

‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:

Kaum Nabi Nuh.
Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
Firaun dan pengikutnya.
Kaum Nabi Luth.
Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.

Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).

Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?

Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.

Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

ORIGINAL ARTICLE- http://genta-rasa.com/2011/08/07/lapangkan-hatimu-dengan-taubat/

 
Leave a comment

Posted by on March 18, 2012 in Muhasabah

 

tudung tapi jahat ke free hair tapi baik?

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.” (Riwayat Imam Malik)

SOALAN
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut. Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher). Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat.

Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh. Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya. Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka.

Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya. Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang. Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin… – Diera –

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :- • Aurat wanita apa sudah jadi? • Wanita, aurat dan Kerjaya Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu. Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom ( UK ), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis. Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal’ di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK .

Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain. Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).! Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambaNya. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam. Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidakmelaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.

Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki. Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri’, ‘tidak ikhlas’ dan ‘tidak mahu hipokrit’ itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung. Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat. Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu’ SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BERDOSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT. Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak. Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh.

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha. Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :- خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه .. Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong seseorang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah. Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, “kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit”, ia telah kita bincang di atas tadi. Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenarnya adalah sebahagian dari mereka kerana : Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat. Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi. Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah. Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi. Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah. Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini. Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Sekian

ORIGINAL LINK from http://www.facebook.com/notes/layarminda/bertudung-kerana-terpaksa/154389364602203

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2011 in Muhasabah

 

bertunang… bercinta… zina ke?

CINTA. Kalimah yang sering menghantui remaja dulu, kini dan selamanya. Satu fitrah manusia yang tidak dapat tidak perlu dikendalikan dengan bijaksana. Jika tidak, tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran. Adakah Islam membenarkan percintaan sebelum pernikahan? Persoalan yang sering membelenggu benak remaja.

Pertama sekali, sebagai seorang muslim sejati, seharusnya kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama sepertimana Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “Telah aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya maka kamu tidak akan tersesat untuk selamanya, iaitu Al-Quran Sunnahku”.

Kita lihat kepada dalil Quran yang dibangkitkan oleh si penanya iaitu Surah al-Isra’;32

32. Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.

Dalam konteks bercinta sebelum kahwin, kalau dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di tempat sunyi atau ditempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat sebagai muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, lepas tu… hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua.

Justeru, ada pertanyaaan seperti “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup ustaz?”. Bila direnung-renung betul betul jugak kan? So, ustaz berpendapat bahawa “term” bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada “term” berkenalan sebelum kahwin. Jom kita refer kepada sirah sekejap. Pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang ingin kahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya.

Rasulullah menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu. Kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami@isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak.

Macam mana plak prosedurnya? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpe berdua je. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insya Allah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina.

Selain itu, di zaman cyber ni faham2 la. Macam2 teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat boleh lah rujuk surah An-Nur ayat 30 bagi lelaki dan surah An-Nur ayat 31 bagi wanita.
Sekian dimaklumkan. Bagi mengakhiri artikel ini, ustaz selitkan seloka untuk renungan semua.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika…

Anda telah bersedia untuk bercouple jika…
Niat anda memang untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika…
Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu semata-mata.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika…
Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi,berpegangan tangan dan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika…
Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti berpegangan tangan,menyentuh dan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika…
Sudah lepas ilmu ‘fardhu ain’ dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda.Atau sebaik-baiknya sudah mempunyaipekerjaan yang tetap.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika…
Masih kandas ilmu fardu ain,mengaji Quran pun lintang pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran.Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan..

Anda telah besedia untuk bercouple jika..
Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu,berpuasa di bulan ramadhan dan sedaya upaya menjadi muslimin dalam erti kata yang sebenar.

Sebaliknya anda belum bersdia untuk bercouple jika..
Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih,solat jarang-jarang,puasa kadang-kadang…aduhai!

-bertunang bukan bermaksud boleh keluar sesuka hati sampai malam-malam… bertunang masih lagi haram bagi lelaki dan perempuan…

 
Leave a comment

Posted by on September 16, 2011 in Muhasabah

 

sejenak…

Sesungguhnya ALLAH Subhanahuwata’ala menjadikan dunia itu tiga bahagian; sebahagian bagi orang MUKMIN, sebahagian bagi orang MUNAFIK dan sebahagian bagi orang KAFIR. Maka orang MUKMIN menyiapkan PERBEKALAN. Orang MUNAFIK, mengambilnya menjadi HIASAN, dan orang KAFIR pula mengambilnya untuk BERSENANG-SENANG.

AL-IMAM GHAZALI

 
Leave a comment

Posted by on September 11, 2011 in Muhasabah

 

APABILA SI AYAH PERGI

Senario A

Si anak A dan adik beradikmya meminta bantuan jiran bagi menguruskan jenazah ayahnya. A dan adik-adiknya yang tampak mewah dan berpendidikan tinggi sibuk berbincang urusan kerjaya dan ada yang bersembang-sembang santai mengenai urusan hidup masing-masing. Walaupun air muka nampak sedih dengan kehilangan arwah ayahnya, sambil merokok A tekun memikirkan bagaimana untuk membahagikan harta-harta peninggalan awah ayahnya. Ketika Imam dan penduduk taman sibuk bersolat jenazah, A dan adik-adiknya terus duduk berbua-bual kerana solat adalah sesuatu yang janggal untuk mereka adik beradik. Sebelum Imam berangkat pulang maka A menyerahkan sejumlah wang kepada Tuan Imam untuk dibahag-bahagikan kepada Tuan Bilal, Siak dan AJK yang membantu menyempurnakan jenazah ayah mereka. Tidak mengejutkan apabila harta peninggalan ayah menyebabkan mereka berselisih dan terpaksa bertemu di mahkamah kerana tidak puas hati di antara satu sama lain. Lebih menyedihkan apabila ibu yang uzur dianggap sebagai bebanan kerana masing-masing tak berkesanggupan untuk menjaganya….

Senario B

Sebaik sahaja ayahnya menghembuskan nafasnya yang terakhir, B dan adik-adiknya terus memanggil saudara-mara dan AJK Masjid untuk memberitahu bahawa ayah yang disayangi telah pun pergi buat selamanya. Dengan perasaan sedih, B bersama adik-adiknya membantu Tuan Imam apa yang mereka boleh. B bersama adik-adiknya turus sama bersolat dan mendoakan agar ayahnya dikurniakan syurga Firdausi atas pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini kepada ibu yang juga telah uzur serta mereka 6 beradik. Oleh kerana B tidak mempunyai pengalaman bagi menguruskan harta peninggalan arwah ayahnya, maka B telah melantik seorang kenalannya seorang peguam syarie bagi membantunya…..

Senario C

Di saat ayahnya terlantar sakit, C dan kesemua adik-adiknya telahpun berkumpul di rumah tanda kasih dan sayang yang teramat sangat walaupun masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya mereka. Ayahanda yang sedang nazak diurus sebaiknya disamping mereka menghubungi saudara-mara serta kenalan rapat ayahnya. Sebaik sahaja ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir, C sendiri mengetuai kerja-kerja penyempurnaan jenazah sambil dibantu oleh adik-adiknya serta Tuan Bilal. Sebagai anak lelaki yang tua, C mengimami solat jenazah sambil diikuti oleh Tuan Imam, AJK Masjid serta saudara mara dan kenalan arwah ayahnya yang ramai yang telah memenuhi ruangan masjid. C kemudiannya mengetuai proses pengkebumian arwah ayahandanya di kawasan perkuburan dengan penuh rasa kasih saying dan keinsafan. Harta-harta peninggalan arwah ayahnya mereka uruskan sesame mereka tanpa sebarang rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Walaupun C seorang yang berjawatan tinggi dan berpendidikan sekular di luar Negara namun C mampu untuk menguruskan ehwal sedemikian dengan penuh yakin dan keinsafan. Begitu juga dengan adik-adiknya yang telah diasuh dengan didikan agama yang baik oleh arwah ayah mereka.Pak Cik & Mak Cik saudara yang lainnya memang kagum dengan anak-anak peninggalan arwah mereka…..

Sebagai ayah dan ibu, anak-anak yang bagaimanakah yang ingin anda tinggalkan ? (Inilah bakal destinasi di kalangan kita semua….ya, kita akan bersendirian…..)

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali karena 3 perkara,

1. Sedekah jariah,

2. Ilmu yang bermanfaat

3. Anak soleh yang mendoakannya        –Hadith Riwayat Muslim

ORIGINAL ARTICLE FROM– http://zainurrashid.com/?p=245

 
Leave a comment

Posted by on May 24, 2011 in Muhasabah

 

wanita.. tutuplah auratmu….

baca link ini

http://wanitamelayuseksa.blogspot.com/

 
Leave a comment

Posted by on May 21, 2011 in Muhasabah